Pasukan Pahang kehilangan seorang lagi pemain menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) tidak menyambung kontrak penyerang muda, R.Kogileswaran.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Kogi menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi miliknya dimana penyerang skuad B-22 tahun negara itu menjelaskan Pahang membuat keputusan untuk melepaskan beliau.

“Empat tahun yang sangat hebat bersama pasukan Pahang dan saya menikmati setiap saat saya berada di sini. Pahang memutuskan untuk melepaskan saya dan apa sahaja faktor di sebalik keputusan itu, saya tidak pernah menyesal beraksi bersama pasukan ini.

“Bukan satu keputusan yang mudah untuk meninggalkan Pahang lebih-lebih lagi peminat yang saya anggap terbaik di Malaysia. Terima kasih kepada semua pihak dan saya harap dapat kembali untuk menyarung jersi pasukan Pahang pada masa akan datang,” kata Kogi.

R.Kogileswaran
Sumber Gambar: FAM

R.Kogileswaran merupakan graduan daripada program Frenz United dimana beliau mula beraksi bersama Pahang sejak musim 2016 lalu selepas beraksi bersama skuad Harimau Muda.

Akan tetapi, pemain berusia 22 tahun itu sentiasa memanaskan bangku simpanan dimana ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh lebih gemar untuk menggunakan khidmat pemain import di bahagian serangan.

Masih belum jelas mengenai destinasi Kogi bagi menghadapi saingan musim 2020. Kogi dilihat mampu untuk memperkuatkan barisan serangan pasukan Liga Malaysia kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas meskipun berusia muda.

Baca artikel lain mengenai pasukan Pahang di sini:

Matthew Davies Tidak Akan Sertai Pasukan Lain, Masih Setia Dengan Pahang

Jodoh Norshahrul Idlan Talaha Bersama Pahang Berakhir

Liga Malaysia 2020: Pahang Bawa Masuk Dua Penjaga Gol Baharu